Jom Solat

SYARAT-SYARAT WAJIB SOLAT

  1. Islam
  2. Baligh
  3. Berakal
  4. Suci dari haidh & nifas
  5. Masuk waktu solat


SYARAT-SYARAT SAH SOLAT

  1. Islam
  2. Berakal
  3. Suci dari hadas kecil & besar
  4. Suci daripada najis pada badan, pakaian & tempat
  5. Yakin masuk waktu
  6. Mengadap qiblat
  7. Menutup aurat
  8. Mengetahui akan fardhu & sunat
  9. Jangan iktikadkan salah satu daripada fardhunya itu sunat
  10. Tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan solat

Orang yang tidak mendapat air untuk berwudhu dan tidak mendapat tanah untuk bertayamum, wajib melakukan soat tetapi wajib diulang semula. Boleh berpaling daripada qiblat pada solat, ketika sangat takut seperti di dalam peperangan dan solat sunat di dalam pelayaran yang harus ataupun kenderaan. Dan kalau solat di atas kapal pada solat fardhu, wajib mengadap qiblat tatkala takbirratul ihram, sekalipun kapal itu beralih kemudiannnya.


RUKUN-RUKUN SOLAT

Semuanya perlu hadir untuk megesahkan solat. Selain daripada yang berikut, perbuatan yang lain adalah sunat. Rukun-rukun solat terbahagi 3 iaitu :-

1. Rukun Qalbi – pekerjaan hati

  • Berniat
  • Tertib

2. Rukun Qauli – pekerjaan lidah

  • Takbirratul ihram
  • Membaca Al-Fatihah
  • Membaca tahiyat akhir
  • Membaca selawat dalam tahiyat akhir
  • Salam

3. Rukun Fi’eli – pekerjaan anggota

  • Berdiri betul bagi yang berkuasa
  • Rukuk
  • Iktidal
  • Sujud
  • Duduk antara dua sujud
  • Duduk tahiyat akhir

Ditambah 4 rukun tuma’ninah ketika rukuk, iktidal, sujud & duduk antara dua sujud. Tuma’ninah adalah apabila seseorang itu berhenti seketika di antara dua rukun. Tujuan tuma’ninah ini adalah supaya solat itu tertib.

 
SUNAT AB’AD
Sunat ab’ad adalah sunat yang dikuatkan (separuh wajib). Jika tertinggal wajib sujud sahwi.

  1. Membaca tahiyat awal
  2. Duduk tahiyat awal
  3. Selawat atas Nabi dalam tahiyat awal
  4. Membaca doa qunut
  5. Berdiri qunut
  6. Selawat atas Nabi dalam qunut
  7. Selawat atas keluarga Nabi dalam qunut
  8. Selawat atas keluarga Nabi dalam tahiyat akhir


SUNAT HAI’AT

Sunat hai’at adalah sunat yang jika tertinggal, tidak diwajibkan berbuat apa-apa.

  1. Membaca lafaz niat
  2. Mengangkat kedua tangan ketika takbirratul ihram
  3. Membaca doa iftitah
  4. Membaca ta’auwwuz
  5. Membaca amin
  6. Membaca surah
  7. Membaca tasbih dalam rukuk
  8. Membaca pujian kepada Allah (samiallahu liman hamidah hingga akhir dalam iktidal)
  9. Membaca tasbih dalam sujud
  10. Membaca doa (rabbirgfirli hingga akhir dalam duduk antara 2 sujud)
  11. Memberi salam yang kedua
  12. Membaca selawat atas Nabi Ibrahim dalam tahiyat akhir
  13. Menoleh ke kanan dan ke kiri ketika memberi salam
  14. Berninat keluar dari solat
  15. Membaca takbir istiqalat ketika hendak rukuk, sujud & bangun dari sujud serta bangun dari tahiyat awal
  16. Duduk iftirash pada sekelian duduk, kecuali tahiyat akhir yang tidak ada sujud sahwi, maka sunat duduk tawarruk


PERKARA-PERKARA YANG SUNAT DALAM SOLAT

Sunat diam sebentar dalam sola t pada 6 tempat:

  1. Antara takbirratul ihram & doa iftitah
  2. Antara doa iftitah & ta’awwuz
  3. Antara ta’auwwuz & bismillah
  4. Antara walladhalin & amin semasa membaca Al-Fatihah
  5. Antara amin & surah
  6. Antara surah & rukuk

Sunat angkat tangan dalam solat pada 4 tempat:

  1. Ketika takbirratul ihram
  2. Ketika hendak rukuk
  3. Ketika iktidal
  4. Ketika bangun dari tahiyat awal

Juga disunatkan bagi solat fardhu, bang & qamat bagi lelaki dan qamat sahaja bagi perempuan.


PERKARA-PERKARA YANG MAKRUH DALAM SOLAT

  1. Berpaling ke kiri atau ke kanan
  2. Mendongak ke atas
  3. Berdiri sebelah kaki
  4. Berludah ke pihak hadapan atau kanan
  5. Berlebihan membongkok atau menundukkan kepala ketika rukuk
  6. Bercekak pinggang
  7. Menyinsing kain atau baju
  8. Solat ketika hadirnya makanan
  9. Solat ketika hendak qadak hajat
  10. Solat pada tempat yang diwahamkan terkena najis


YANG MEMBATALKAN SOLAT

  1. Berkata-kata dengan sengaja jika sedikit sekalipun
  2. Kedatangan hadas besar atau kecil
  3. Kedatangan najis yang tiada dimaafkan pada pakaian badan atau tempat
  4. Terbuka aurat dengan sengaja. Jikalau terbuka kerana ditiup angin dan ditutup kembali dengan segera, tidak batal
  5. Membelakangkan qiblat atau berpaling dadanya daripada qiblat
  6. Makan atau minum walau sedikit sekalipun
  7. Ketawa yang mengeluarkan suara
  8. Murtad
  9. Bergerak 3 kali berturut-turut
  10. Berubah niat seperti niat berhenti dari solat

Solat seseorang itu akan batal jika dia berbuat bunyi. Boleh berdehem untuk menurunkan kahak (bukan makanan). Jika rasa terkeluarnya hadas kecil, jangan batalkan solat kerana itu adalah angkara syaitan untuk menimbulkan was-was dalam diri kita ketika solat. Kecuali jika ada bau, teruskan solat.


WAKTU-WAKTU YANG HARAM SOLAT SUNAT YANG TIADA BERSEBAB

  1. Waktu naik matahari hingga kadar segalah atau tujuh hasta (agak-agak dalam 15 minit selepas syuruk)
  2. Waktu rembang hingga tergelincir matahari melainkan hari Juma’at
  3. Daripada solat subuh hingga naik matahari kadar segalah
  4. Daripada solat asar hingga jatuh matahari
  5. Waktu matahari kekuning-kuningan hingga jatuh matahari

Sumber: NurAyin Islamic Section

Sujud Tilawah (Sajadah)

 

Makna Tilawah

Tilawah ertinya bacaan. Maka Sujud Tilawah bererti sujud bacaan iaitu sujud kerana membaca atau mendengar ‘ayat-ayatSajadah’ dari pembacaan Al-Quran yang kebiasaannya boleh dikenali pada ayat-ayat tersebut dengan ditandai garis atau simbol kubah dan tertulis perkataan sajadah.

Disunat bersujud dengan niat Tilawah bagi pembaca atau pendengar ‘ayat Sajadah’. Selain dari Sujud Tilawah’ sujud ini juga dikenali sebagai ‘Sujud Sajadah’.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila anak Adam membaca ayat Sajadah, lalu ia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, “Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak, maka untukku neraka.”   (HR Bukhari dan Muslim.)

Hukum Sujud Sajadah adalah sunat mu’akad, atau sunat yang amat digalakkan.

Dari Umar r.a; Pada suatu hari Jumaat, Rasulullah SAW membaca surah al-Nahl di atas mimbar, maka ketika sampai pada ayat sajadah, Baginda lalu turun dan sujud. Dan para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada Jumaat berikutnya, dibacanya surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat sajdah Baginda SAW bersabda: “Wahai manusia, sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi sesiapa bersujud, dia telah melakukan yang benar. Dan sesiapa yang tidak melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa.” (HR Bukhari)

 

1.  Ayat-ayat Sajadah

Di dalam Al-Quran terdapat 15 ayat-ayat sujud sajadah iaitu:

1. Surah 7 (Al-A’Raaf) Ayat 206

2. Surah 13 (Ar-Ra’d) Ayat 15

3. Surah 16 (Al-Nahl) Ayat 50

4. Surah 17 (Al-Isra’) Ayat 109

5. Surah 19 (Maryam) Ayat 58

6. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 18

7. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77

8. Surah 25 (Al-Furqaan) Ayat 60

9. Surah 27 (An Naml) Ayat 26

10. Surah 32 (As-Sajdah) Ayat 15

11. Surah 38 (Shaad) Ayat 24

12. Surah 41 (Fushshilat) Ayat 38

13. Surah 53 (An-Najm) Ayat 62

14. Surah 84 (Al-Insyiqaq) Ayat 21

15. Surah 96 (Al-’Alaq) Ayat 19

 

Nota:

Perlu dinyatakan bahawa bacaan surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77 menurut madzhab Syafi’iyah dan Hanbaliyah dimasukkan sebagai ayat sajadah. Bacaan Surah 38 (Shaad) Ayat 24 pula menurut Syafi’iyah dan Hanbaliyah tidak termasuk ayat sajadah, tapi ayat yang disunatkan untuk ‘Sujud Syukur’.

 

2.  Syarat Sujud Tilawah

    1. Suci badan, pakaian dan tempat sujud.
    2. Menutup aurat.
    3. Menghadap kiblat.
    4. Sujud setelah selesai membaca ayat Sajadah.
    5. Dalam solat berjamaah, makmum wajib mengikuti Imam bersujud Tilawah. Gugur keahlian solat berjamaah, jika tidak ikut bersujud.

 

3.  Rukun Sujud

     1.  Niat Sujud Tilawah

 “Daku melakukan Sujud Tilawah kerana Allah Ta‘ala”

     2.  Bertakbir

3.  Sujud

     4.  Salam.

4.  Bacaan Sujud Tilawah (Sajadah)

Dalam Sujud Tilawah dianjurkan membaca:

“Aku bersujud kepada Allah yang menjadikanku, memberikan pendengaranku dan penglihatanku dengan Kekuasaan-Nya dan Kudrat-Nya. Maka Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik pencipta kejadian.”

 

5.  Zikir-Zikir Lain 

Bacaan zikir-zikir yang lain ketika Sujud Tilawah. Sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Ya Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud.” (Hadis riwayat Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)

Sementara itu Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :

“Maha suci tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana.”

Walau bagaimanapun adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud solat.

Menurut Imam Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari hadas (dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلآ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ.

“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.

 

Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul masjid. (Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)

 

6.  Dua Jenis Sujud Tilwah

Sujud Tilawah ini disunatkan dilakukan baik dalam solat atau di luar solat.

1.   Dalam Solat

a. Ketika tiba pada ayat-ayat Sajadah, disunatkan berniat sujud untuk Tilawah, mengucapkan Takbir lalu terus sujud sekali dan membaca tasbihnya, kemudian berdiri semula tanpa perlu mengangkat tangan dan menyambung baki bacaan ayat tersebut serta teruskan solat seperti biasa sehingga salam.

b. Terbatal solat jika melakukan sujud bersendirian pada ketika Imam tidak melakukannya. Sekiranya imam tidak melakukannya, maka makmumnya juga tidak perlu bersujud kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan imam.

 2.   Di Luar Solat

Sujud Tilawah sunat dilakukan di luar solat iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam solat.

Berniat dalam hati, di samping itu disunatkan juga melafazkan niatnya :

 “Daku melakukan Sujud Tilawah kerana Allah Ta‘ala”

.

  1. Ketika membaca Al-Quran dan apabila bertemu ‘tanda sujud’, maka hendaklah bertakbiratul-ihram sambil berniat ‘Sujud Tilawah’ untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya.
  2. Takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud tilawah.
  3. Tidak perlu berdiri atau membaca Fatihah dan rukuk. Terus saja bersujud dan membaca ‘Tasbih Tilawah’.
  4. Adalah sunat memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga diletakkan dahi ke tempat sujud.
  5. Begitu juga bagi takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula. kemudian kembali duduk dan memberi salam.
  6. Perlu diingat bahawa untuk melakukan sujud tilawah di luar solat ini tidak disunatkan bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir dan sujud. (At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)
  7. Jika tidak bersujud, kerana tidak memenuhi syarat atau berhalangan, maka sebagai gantinya bacalah ayat:

Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, Tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar; Tiada suatu daya dan kekuatan melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

3.  Boleh Tangguh Sujud Tilawah

Sujud tilawah juga boleh ditangguhkan. Contohnya, ketika sedang dalam perjalanan tiba-tiba kedengaran seseorang membaca ayat sajdah. Maka, tidak diharuskan sujud seketika itu juga kerana untuk melakukannya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dan berada di tempat suci, sama seperti mahu mengerjakan solat.

 

Sumber: shafiqolbu

7 Peringkat Solat

Apakah sembahyang yang kita lakukan sejak baligh sehingga ke hari ini diterima Allah? Pernahkan kita menganalisa, sejauh manakah kita khusyuk di dalam sembahyang, kerana khusyuk merupakan salah satu syarat untuk sembahyang itu diterma Allah.

Bagi orang-orang yang soleh dan solehah, mereka sangat mengambil berat tentang sembahyang. Sekiranya pekerjaan seharian terganggu, atau tiada kelancaran semasa bekerja, perkara pertama yang dilakukan ialah memeriksa semula sejauh mana khusyuknya mereka dalam sembahyang. Ini adalah kerana sembahyang merupakan hubungan manusia dengan Allah.

Sekiranya hubungan dengan Allah pun tidak selesai, dengan manusia tentunya lebih susah lagi. Seterusnya, ketaatan kepada pemimpin tidak akan berlaku sekiranya tiada ketaatan kepada Tuhan. Sembahyang perlu dinilai dari segi berjemaah atau tidak, tepat pada waktunya ataupun tidak, khusyuk atau tidak dan kelurusan saf di dalam sembahyang. Untuk menilai sembahyang kita, mari kita bersama-sama meneliti peringkat-peringkat sembahyang berikut. Dalam golongan manakah kita dikategorikan.

Sembahyang Orang Jahil

Sembahyang seseorang yang tidak faham tentang rukun sembahyang, syarat wajib sembahyang, syarat sah sembahyang, persoalan suci dari hadas kecil dan hadas besar dan sebagainya. Sekalipun sembahyang itu kemas, tepat pada waktunya dan berjemaah, tetap tertolak kerana dilakukan tanpa ada ilmu.

Sembahyang Orang Lalai
Pada zahirnya adalah lengkap. Ini kerana sebelum sembahyang itu dikerjakan, ilmu mengenainya sudah dipelajari. Bacaan dalam sembahyang dijaga betul. Tapi fikiran orang orang yang bersembahyang itu melayang, memikirkan perkara lain, tidak menghayati sembahyangnya. Sedangkan khusyuk dalam sembahyang merangkumi khusyuk, akal, hati dan perbuatan. Golongan inilah yang dikatakan lalai di dalam sembahyang sepertimana firman Allah:

“Sebab itu, celakalah bagi orang-orang yang bersembahyang dan mereka lalai dari sembahyangnya.”

Surah Al-Ma’un, Ayat 3 dan 4. Mereka ini akan Allah masukkan ke dalam Neraka Wail.

Sembahyang Kerana Selain Allah

Sembahyang yang dilakukan kerana adat dan budaya. Mungkin seseorang itu lahir dalam suasana Islam. Sejak kecil dia melihat orang sekelilingnya sembahyang, lantas dia pun sembahyang. Ini bermakna sembahyangnya bukan kerana syariat tapi kerana takut dimarahi ibu bapa, takut tersisih dan sebagainya. Sembahyang bagi golongan ini juga tertolak.

Sembahyang Peringkat Mujahadah

Golongan yang sembahyangnya diperingkat ini pula, mereka memiliki ilmu tentang sembahyang dan berusaha menghayati sembahyangnya. Mereka ada kesungguhan tetapi jiwa tidak hidup. akal sudah berperanan, tetapi hati belum dapat dibawa bersama di dalam sembahyangnya. Bahkan di dalam sembahyang, mereka bermujahadah untuk mendapatkan rasa khusyuk. Allah sayang pada orang yang bermujahadah. Allah menerima sembahyang golongan ini setakat yang mereka khusyuk sahaja. Walau bagaimanapun, mereka masih belum tentu selamat. Terpulanglah kepada Allah menentukannya. Kalau dengan rahmat Allah, Dia hendak mengampunkan dosa hambaNya, Dia ampunkan. Kalau Dia hendak siksa pun, itu adalah hakNya sebagai Tuhan.

Sembahyang Orang Soleh

Diperingkat sembahyang ini, akal fikiran sudah boleh ditumpukan supaya khusyuk kepada Tuhan di dalam sembahyangnya tetapi jiwa dan hati belum sepenuhnya dikawal. Akal sudah boleh disibukkan dengan mengingatkan makna-makna bacaan dan pergerakan sembahyang. Golongan ini sudah tidak lalai dalam sembahyang. Untuk sembahyang kita diterima, kita sekurang-kurangnya berada diperingkat ini. Ia peringkat paling minimum.

Sembahyang Para Wali

Di peringkat sembahyang para wali, akal, hati dan fizikal telah dapat dikawal. Golongan ini sudah dapat menghayati sembahyang. Apabila menyebut Alhamdulillah, hati terasa bersyukur dan akal memahaminya. Bila berdiri tegak, dia dapat merasakan bahawa dirinya sedang menghadap Tuhan. Bila bertasbih, terasa dirinya kerdil dan hina di hadapan Tuhan yang Maha Agung. Bila berdoa, hati sentiasa rasa mengharap. Sembahyang beginilah yang melahirkan rasa kehambaan. Bahkan dapat merasakan kelazatan di dalam sembahyang.

Sembahyang Para Nabi-nabi dan Rasul-rasul

Golongan ini terlalu khusyuk sembahyangnya, dengan lain perkataan ‘fana’ dengan Allah. Roh mereka sampai ke alam yang tinggi. Sifat-sifat Allah dihayati sungguh-sungguh. Bahkan mereka boleh sampai ke alam malakut.
Begitulah di antara beberapa peringkat sembahyang yang boleh kita kategorikan. Sembahyang yang dapat dihayati sungguh-sungguh akan dapat memberikan kesan kepada orang yang melakukannya. Sebaliknya rugilah mereka yang lalai di dalam sembahyang. Sembahyang mereka seperti patuk ayam yang tidak tahu makna apa-apa tentang sembahyangnya.

 

Rahsia Khusyuk solat

RAHSIA KHUSYUK SOLAT

1. Jangan bersolat dengan menahan sesuatu seperti air kecil atau air besar..
2. Sentiasa lakukan solat berjemaah (yang paling afdal ialah di masjid)
3. Menjaga makan dan minum (terjamin halal)
4. Membanyakkan sedekah kepada fakir miskin.
5. Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengalir mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat atau doa apabila air melalui di tiap-tiap anggota.
6. Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
7. Tempat sujud dipastikan tiada gambar yang boleh mengganggu fikiran.
8. Mengingati mati dan beringat kemungkinan itu adalah solat terakhir dalam hidup.
9. Menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia dan segala yang tersirat di hati hamba-hambanya.
10. Memenuhkan hati dengan perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang sentiasa memerhatikan gerak-geri kita.
11. Memahami segala bacaan dalam solat termasuk makna ayat-ayat Al-Quran dan segala zikir.
12. Membaca surah Al-Nas,selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W, istighfar dan bacaan yang menjauhkan diri kita daripada syaitan sebelum mengangkat takbir.
13. Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.
14. Memanjangkan sedikit tempoh semasa ruku’ dan sujud.
15. Memastikan tiada gangguan di dalam kawasan solat.
16. Jangan memandang ke kiri dan ke kanan(selain dari tempat sujud).

Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”
Surah Al-Mukminun : ayat 1-2.

Firman-Nya lagi:-

“Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk”
Surah Al-Baqarah : ayat 238

Dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain. Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.”
Surah Al-Ma’un : ayat 4-5

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya.” Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : “Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat.” Hadis lain dari Rasulullah s.a.w. “Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang”. serta “Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan”. Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang:

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori’ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya’) perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan “munajat” (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, “Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati.”

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:

“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya” [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Sumber: Facebook

Solat Dhuha, Doa dan cara melaksanakan

solat

Ruang waktu dan waktu afdal

Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.

Cara melaksanakannya

Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara melakukan solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.

Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)

Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.

Doa yang disarankan

“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”

doa

* Coretanku

Kepada orang yang tidak menghafal surah-surah yang disarankan iaitu surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. Bacaan solat boleh dibaca apa-apa surah yang penting niat kita adalah IKHLAS untuk Allah SWT, bukan kerana berkehendakkan harta dan rezeki yang banyak tetapi salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah…

Kita rujuk kepada Hadith Qudsi yang mengatakan, Firman Allah, “ Wahai anak-anak adam (sebut-sebutkan) zikirkan akan AKU selepas sembahyang subuh barang sekejap dan selepas sembahyang asar barang sekejap, maka AKU cukupkan engkau apa yang ada diantara dua waktu tersebut maka apabila naik matahari sembahyang dhuha sebanyak lapan rakaat”

Pada rakaat pertama bacalah ayatul kursi kerana ayutul kursi terlalu banyak keistimewaannya, semasa suruh itu diturunkan beribu-ribu malaikat sebagai perantaranya. Didalamnya juga terkandung KURSI (kerajaan) ALLAH yang sangat besar meliputi 7 lapisan langit dan bumi. Ada 95 buah hadish yang menerangkan akan fadhilat ayutul kursi.

Rakaat kedua bacalah surah Al-Ikhlas sebab surah Al-Ikhlas merupakan 1/3 dari Al-Quran. Surah yang cukup besar maknanya sebab mengandungi sifat-sifat Allah yang Esa dan siapa Allah yang sebenar iaitu yang tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNYA. Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan.

Berkenaan doa… boleh baca doa mana-mana yang berkaitan tetapi lebih afdal baca doa solat dhuha yang khusus… doa itu sememangnya cukup baik dan sempurna untuk memohon keberkatan rezeki dari ilahi… Manakala bilangan rakaat pula adalah mengikut kemampuan. Bila masa terhad dengan kerja seharian boleh dilakukan dengan 2 rakaat dan bila waktu cuti lakukanlah dua-dua rakaat sehingga 4, 6 atau 8 rakaat dan boleh sehingga 12 rakaat. semua mengikut kemampuan… Amal yang sedikit dan istiqamah (berterusan) adalah lebih baik dari amal yang banyak tetapi jarang-jarang… fikir-fikirkan… semoga dengan membudayakan solat dhuha, kita akan lebih disayangi oleh Allah SWT dan sentiasa didalam naunganNYA.. ameennn…