Jom Solat

SYARAT-SYARAT WAJIB SOLAT

  1. Islam
  2. Baligh
  3. Berakal
  4. Suci dari haidh & nifas
  5. Masuk waktu solat


SYARAT-SYARAT SAH SOLAT

  1. Islam
  2. Berakal
  3. Suci dari hadas kecil & besar
  4. Suci daripada najis pada badan, pakaian & tempat
  5. Yakin masuk waktu
  6. Mengadap qiblat
  7. Menutup aurat
  8. Mengetahui akan fardhu & sunat
  9. Jangan iktikadkan salah satu daripada fardhunya itu sunat
  10. Tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan solat

Orang yang tidak mendapat air untuk berwudhu dan tidak mendapat tanah untuk bertayamum, wajib melakukan soat tetapi wajib diulang semula. Boleh berpaling daripada qiblat pada solat, ketika sangat takut seperti di dalam peperangan dan solat sunat di dalam pelayaran yang harus ataupun kenderaan. Dan kalau solat di atas kapal pada solat fardhu, wajib mengadap qiblat tatkala takbirratul ihram, sekalipun kapal itu beralih kemudiannnya.


RUKUN-RUKUN SOLAT

Semuanya perlu hadir untuk megesahkan solat. Selain daripada yang berikut, perbuatan yang lain adalah sunat. Rukun-rukun solat terbahagi 3 iaitu :-

1. Rukun Qalbi – pekerjaan hati

  • Berniat
  • Tertib

2. Rukun Qauli – pekerjaan lidah

  • Takbirratul ihram
  • Membaca Al-Fatihah
  • Membaca tahiyat akhir
  • Membaca selawat dalam tahiyat akhir
  • Salam

3. Rukun Fi’eli – pekerjaan anggota

  • Berdiri betul bagi yang berkuasa
  • Rukuk
  • Iktidal
  • Sujud
  • Duduk antara dua sujud
  • Duduk tahiyat akhir

Ditambah 4 rukun tuma’ninah ketika rukuk, iktidal, sujud & duduk antara dua sujud. Tuma’ninah adalah apabila seseorang itu berhenti seketika di antara dua rukun. Tujuan tuma’ninah ini adalah supaya solat itu tertib.

 
SUNAT AB’AD
Sunat ab’ad adalah sunat yang dikuatkan (separuh wajib). Jika tertinggal wajib sujud sahwi.

  1. Membaca tahiyat awal
  2. Duduk tahiyat awal
  3. Selawat atas Nabi dalam tahiyat awal
  4. Membaca doa qunut
  5. Berdiri qunut
  6. Selawat atas Nabi dalam qunut
  7. Selawat atas keluarga Nabi dalam qunut
  8. Selawat atas keluarga Nabi dalam tahiyat akhir


SUNAT HAI’AT

Sunat hai’at adalah sunat yang jika tertinggal, tidak diwajibkan berbuat apa-apa.

  1. Membaca lafaz niat
  2. Mengangkat kedua tangan ketika takbirratul ihram
  3. Membaca doa iftitah
  4. Membaca ta’auwwuz
  5. Membaca amin
  6. Membaca surah
  7. Membaca tasbih dalam rukuk
  8. Membaca pujian kepada Allah (samiallahu liman hamidah hingga akhir dalam iktidal)
  9. Membaca tasbih dalam sujud
  10. Membaca doa (rabbirgfirli hingga akhir dalam duduk antara 2 sujud)
  11. Memberi salam yang kedua
  12. Membaca selawat atas Nabi Ibrahim dalam tahiyat akhir
  13. Menoleh ke kanan dan ke kiri ketika memberi salam
  14. Berninat keluar dari solat
  15. Membaca takbir istiqalat ketika hendak rukuk, sujud & bangun dari sujud serta bangun dari tahiyat awal
  16. Duduk iftirash pada sekelian duduk, kecuali tahiyat akhir yang tidak ada sujud sahwi, maka sunat duduk tawarruk


PERKARA-PERKARA YANG SUNAT DALAM SOLAT

Sunat diam sebentar dalam sola t pada 6 tempat:

  1. Antara takbirratul ihram & doa iftitah
  2. Antara doa iftitah & ta’awwuz
  3. Antara ta’auwwuz & bismillah
  4. Antara walladhalin & amin semasa membaca Al-Fatihah
  5. Antara amin & surah
  6. Antara surah & rukuk

Sunat angkat tangan dalam solat pada 4 tempat:

  1. Ketika takbirratul ihram
  2. Ketika hendak rukuk
  3. Ketika iktidal
  4. Ketika bangun dari tahiyat awal

Juga disunatkan bagi solat fardhu, bang & qamat bagi lelaki dan qamat sahaja bagi perempuan.


PERKARA-PERKARA YANG MAKRUH DALAM SOLAT

  1. Berpaling ke kiri atau ke kanan
  2. Mendongak ke atas
  3. Berdiri sebelah kaki
  4. Berludah ke pihak hadapan atau kanan
  5. Berlebihan membongkok atau menundukkan kepala ketika rukuk
  6. Bercekak pinggang
  7. Menyinsing kain atau baju
  8. Solat ketika hadirnya makanan
  9. Solat ketika hendak qadak hajat
  10. Solat pada tempat yang diwahamkan terkena najis


YANG MEMBATALKAN SOLAT

  1. Berkata-kata dengan sengaja jika sedikit sekalipun
  2. Kedatangan hadas besar atau kecil
  3. Kedatangan najis yang tiada dimaafkan pada pakaian badan atau tempat
  4. Terbuka aurat dengan sengaja. Jikalau terbuka kerana ditiup angin dan ditutup kembali dengan segera, tidak batal
  5. Membelakangkan qiblat atau berpaling dadanya daripada qiblat
  6. Makan atau minum walau sedikit sekalipun
  7. Ketawa yang mengeluarkan suara
  8. Murtad
  9. Bergerak 3 kali berturut-turut
  10. Berubah niat seperti niat berhenti dari solat

Solat seseorang itu akan batal jika dia berbuat bunyi. Boleh berdehem untuk menurunkan kahak (bukan makanan). Jika rasa terkeluarnya hadas kecil, jangan batalkan solat kerana itu adalah angkara syaitan untuk menimbulkan was-was dalam diri kita ketika solat. Kecuali jika ada bau, teruskan solat.


WAKTU-WAKTU YANG HARAM SOLAT SUNAT YANG TIADA BERSEBAB

  1. Waktu naik matahari hingga kadar segalah atau tujuh hasta (agak-agak dalam 15 minit selepas syuruk)
  2. Waktu rembang hingga tergelincir matahari melainkan hari Juma’at
  3. Daripada solat subuh hingga naik matahari kadar segalah
  4. Daripada solat asar hingga jatuh matahari
  5. Waktu matahari kekuning-kuningan hingga jatuh matahari

Sumber: NurAyin Islamic Section

Sawan boleh disembuhkan

Pengenalan

Sawan atau epilepsi adalah penyakit akibat ketidakseimbangan rangsangan isyarat elektrik di dalam otak disebabkan kecederaan semasa atau selepas kelahiran, tumor atau demam ketika kanak-kanak atau jangkitan.

Serangan sawan berbeza dari segi intensiti dan frekuensi, bermula dengan kehilangan memori ringan – absences sehingga konvulsi (jatuh atau goncangan badan) berlaku beberapa kali dalam sehari.

Tekanan, demam dan pengambilan alkohol berlebihan berpotensi menyebabkan sawan. Sehingga kini tiada penyebab utama sawan dikesan. Kekurangan vitamin boleh menyebabkan sawan dan mendorong doktor mengawalnya melalui diet.

Perubatan moden mengklasifikasikan sawan kepada tiga kategori:

1 Sawan Menyeluruh/Generalise (melibatkan keseluruhan otak – Grand Mal atau Sawan Tonik-Klonik). Pesakit kaku, rebah, tidak sedar, badan bergoncang atau konvulsi dan meronta. Serangan biasa berlaku dalam lima minit, kebanyakan pesakit tertidur lebih setengah jam dan bila terjaga termenung dan bingung.

2 Sawan Sebahagian (Sawan fokal/partial kompleks atau Gangguan Psikomotor). Mengakibatkan pesakit bingung dan tidak sedar apa yang berlaku.

3 Sawan Ketiadaan (Absence Seizure atau Epilepsi Petit Mal). Banyak terjadi pada pelajar sekolah rendah dan pesakit berada dalam keadaan tidak sedar dalam masa singkat (30 saat), tidak melibatkan jatuh atau goncangan badan (konvulsi). Biasa pulih apabila dewasa.

Punca

Penyakit sawan berlaku tanpa mengira bangsa, latar belakang pendidikan dan kedudukan status ekonomi. Lebih separuh kes tidak mempunyai punca pasti.

– Pengaruh genetik. Sesetengahnya ada sejarah keluarga, atau genetik. Penyelidik mengaitkan beberapa jenis sawan dengan gen tertentu.

– Trauma di kepala yang dialami semasa kemalangan atau kecederaan trauma lain.

– Gangguan perubatan. Penyakit seperti strok atau serangan jantung.

– Demensia adalah punca utama sawan di kalangan orang dewasa lebih tua.

– Penyakit – meningitis, AIDS dan virus ensefalitis juga boleh menyebabkan sawan.

– Kecederaan pranatal. Sebelum lahir, bayi terdedah kepada kerosakan otak disebabkan jangkitan daripada ibu, pemakanan atau kekurangan oksigen. Kira-kira 20 peratus sawan kanak-kanak berkaitan dengan cerebral palsy atau masalah neurologi lain.

– Masalah pembangunan. Kadang-kala ikaitkan dengan gangguan perkembangan, seperti Autisme dan Sindrom Down.

Dalam pengalaman kami, terdapat kes melibatkan gangguan makhluk halus atau jin

Tanda awal

Gejala sawan berbeza dan bergantung kepada jenis. Ramai menyangka sawan atau epilepsi sama dengan demam sawan. Walaupun tandanya hampir sama, ibu bapa perlu peka dan tahu membezakannya.

Demam sawan berpunca daripada demam panas pada kanak-kanak antara enam bulan hingga lima tahun. Sawan biasanya menyerang orang dewasa disebabkan faktor semulajadi dan tekanan mental dan mungkin sukar dikenal pasti di kalangan kanak-kanak.

Contohnya, sesetengah sawan menyebabkan pesakit suka berkhayal atau anak kecil tersandung. Apabila ini kerap berlaku dalam corak yang sama, mungkin mereka sawan. Sawan sukar didiagnosis pada kanak-kanak.

Tanda kanak-kanak sawan:

– Merenung kosong seperti berkhayal.

– Jatuh secara tiba-tiba tanpa sebab.

– Kurang tindak balas untuk tempoh singkat.

– Mengantuk berlebihan.

– Mengangguk berulang-ulang.

– Mata berkelip laju.

– Sakit perut tiba-tiba diikuti kekeliruan.

– Kerap cuai bila melakukan sesuatu.

– Tiba-tiba takut tanpa sebab jelas.

Kadang-kala sawan bermula di zaman remaja dan sukar dikenali dan disalah tafsir sebagai masalah psikologi.

Tanda remaja mempunyai sawan:

– Merenung kosong, mengunyah, membelek pakaian, membebel atau pergerakan rawak.

– Takut tiba-tiba, marah atau resah.

– Otot, anggota atau badan bergoncang atau mengigil (seizure), terutama awal pagi.

– Perubahan deria seperti perkara yang kelihatan (halusinasi), bunyi (skizophrenia), bau, berasa pelik atau berbeza.

– Masalah memori atau kerap lupa.

– Tidak dapat bercakap atau berkomunikasi secara biasa untuk masa singkat.

Kehadiran tanda berkenaan tidak bermakna anak atau anda sawan, tetapi perlu perhatian serius. Jumpa doktor atau datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

Rawatan moden

Doktor biasanya merawat sawan dengan ubatan. Jika tidak berkesan, pihak hospital mencadangkan pembedahan atau rawatan lain. Kebanyakan pesakit bebas sawan dengan mengambil ubat anti-epileptik. Jika tidak berhasil, doktor mencadangkan pembedahan atau terapi lain.

Pembedahan dilakukan jika ujian menunjukkan serangan berasal dari kawasan kecil dalam otak dan tidak mengganggu fungsi penting. Jika serangan berasal di bahagian otak yang tidak boleh dikeluarkan, doktor mencadangkan pembedahan di mana pakar bedah membuat satu siri bukaan atau potongan di dalam tisu otak.

Terapi rangsangan saraf melibatkan alat perangsang saraf vagus yang ditanam di bawah kulit dada seperti perentak jantung. Tidak jelas bagaimana ia berfungsi, tetapi ia mengurangkan sawan hingga 40 peratus.

Kanak-kanak dapat mengurangkan serangan dengan mengekalkan diet ketat seperti tinggi lemak dan rendah karbohidrat. Diet ketogenic, menyebabkan badan memecahkan lemak dan bukan karbohidrat untuk tenaga.

Guna ayat Al-Quran

Seperti diterangkan, wujud gangguan pada sistem saraf pesakit. Punca sebenar belum disahkan dan terdapat banyak hadis mengenai sawan menyebut gangguan jin.

Diriwayatkan daripada Nabi Sulaiman bin Daud a.s., baginda melihat seorang perempuan tua rambut beruban, mata biru, kening bertanduk, betis kecil, rambut kusut masai, mulut ternganga dan keluar pucuk api, dapat membelah bumi menggunakan kuku tajam dan memecahkan batu besar dengan pekikan suaranya.

Nabi Allah Sulaiman bertanya, siapakah kamu? Adakah kamu manusia atau jin? Kerana aku tidak pernah melihat orang paling hodoh selain engkau. Perempuan itu menjawab: “Akulah Ummu Sibyan (Jin ibu penyakit sawan) yang dapat menguasai ke atas anak Adam lelaki dan perempuan, …”

Dari Husain bin Ali r.a., ia berkata Rasulullah saw bersabda: “Siapa yang melahirkan anak lalu bayi yang dilahirkan diazankan pada telinga kanan dan diqamatkan pada telinga kirinya, nescaya ummu sibyan tidak akan mengganggunya.”

Abu Sulaiman berkata apabila sekumpulan sahabat dalam perjalanan dan bertemu orang terkena sawan. Salah seorang membacakan Surah Al-Fatihah dan meniup di telinga beliau. Pesakit itu segera sembuh.

Apabila Nabi Muhammad s.a.w. dimaklumkan mengenai perkara ini, beliau berkata: “Ia (Surah Al-Fatihah) adalah” Ibu Al-Quran “(Ummu al-Qur’an) dan penawar setiap penyakit.”

Di sini, pesakit sawan diberi ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah mohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:

Surah Az-Zumar ayat 24 hingga 37

Surah Al-Hijr ayat 66 hingga 99

Surah Al-A’raaf ayat 43 hingga 56

Surah Ambiya ayat 74 hingga 81

Pesakit hendaklah membaca surah pertama, tiga kali pada malam dan surah kedua, tiga kali siang. Amalkan tiga hingga empat minggu. Selepas itu, pesakit perlu memohon doa penyembuhan kepada Allah.

Selepas itu, pesakit hendaklah mengulang surah seterusnya. Lebih baik pesakit datang berjumpa perawat supaya kami memeriksa jika ada gangguan makhluk halus.

Penutup

Kepada pesakit, jangan putus asa dan anggap penyakit sawan tidak dapat dibantu.

“Kami menurunkan dari Al Quran itu suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman..”-(Al-Israa’, 17:82)

InsyaAllah, dengan izin Allah kami boleh membantu pesakit sawan.
Sumber: Utusan Online

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar

Kita selalu berzikir dengan menyebut zikir secara berturutan seperti berikut: Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar dan Lahawlawala Quwwataillabillahilaliyyilazim. Tetapi berapa ramaikah dari kita yang mengkaji apakah maksud zikir-zikir tersebut. Saya rasa dari segi bahasa hampir semua dari kita tahu maksudnya. Cuma dari segi huraian maksud setiap zikir tersebut tidak ramai yang tahu. Pada artikel kali ini saya akan menerangkan huraian maksud zikir tersebut.

Subhanallah

Subhanallah dari segi bahasa bermaksud Maha Suci Allah. Huraiannya ialah kita meyakini bahawa Allah itu Maha Bersih dan Maha Suci. Allah tidak melakukan kesilapan dan segala tindakanNya sentiasa betul. Saya bagi contoh. Di dalam dunia ini, ada manusia yang Allah pilih untuk beri hidayah dan ada manusia yang Allah pilih untuk tidak memberi hidayah. Ketahuilah bahwa Allah SWT itu langsung tidak memilih kasih. Sesiapa yang diberikan hidayah oleh Allah memang layak menerima hidayah itu berdasarkan usaha dan takdirnya manakala sesiapa yang tidak diberikan hidayah oleh Allah SWT, dia memang tidak layak menerima hidayah tersebut berdasarkan usaha dan takdirnya juga.

Allah SWT langsung tidak serupa dengan manusia yang suka pilih kasih apabila memberi sesuatu. Contohnya bos yang asyik pilih kasih apabila memberi markah cemerlang dan pangkat walaupun mungkin ada orang lain yang sama/lebih layak untuk menerima markah cemerlang dan pangkat tersebut. Contoh yang lain apabila seseorang lelaki itu berkahwin empat. Adalah mustahil untuk dia menyintai keempat-empat isterinya dengan sama rata. Soal hati itu tidak dikira berdosa kerana itu sifat semulajadi manusia. Yang penting dia mestilah berlaku adil terhadap isteri-isterinya dengan memberikan hak mereka seperti nafkah zahir dan batin, giliran yang bersesuaian dsb.

Alhamdulillah

Alhamdulillah dari segi bahasa bermaksud segala puji itu hanya untuk Allah. Dari segi huraian maksudnya segala yang kita ada, semuanya adalah milik Allah. Apabila ada orang yang memuji kita samaada hebat, hensem atau kaya, kembalikanlah pujian tersebut kepada Allah dengan mengucapkan Alhamdulillah. Janganlah kita merasa hebat dengan apa yang kita miliki samaada ilmu, pangkat, harta dsb kerana semuanya adalah kurniaan dari Allah. Ada orang yang merasa dia hebat kerana berjaya menjawat pangkat yang tinggi dalam syarikat. Siapakah yang telah memberikannya otak dan kepandaian sehingga dia layak menjawat jawatan tersebut? jawapannya ialah Allah. Sebenarnya segala yang kita ada, semuanya adalah milik Allah. Di akhirat nanti, kita akan ditanya oleh Allah apakah yang telah kita buat dengan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Ucapkanlah Alhamdulillah juga untuk bersyukur terhadap segala nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.

Ucapan ALHAMDULILLAH yang diucap dengan ikhlas nescaya akan dibalas dengan Rahmat dariNya dan sesiapa yang diberi Rahmat olehNya Insya Allah akan bertambah nikmatnya

Lailahaillah

Maksud Lailahaillah ialah tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dari segi huraian maksudnya kita hanya patut menyembah Allah semata-mata dan bukannya benda-benda lain di dunia ini. Kalau zaman dulu, masyarakat jahiliah menyembah berhala. Tapi zaman sekarang ini ada manusia yang bertuhankan benda seperti wang, wanita, pangkat, manusia dsb. Maksud bertuhankan benda ini ialah sanggup melakukan apa sahaja tidak kira halal atau haram untuk mendapatkan benda tersebut. Wang, wanita, pangkat dan lain-lain tidak salah untuk dimiliki tetapi perlu dimiliki dengan cara halal seperti bekerja, berkahwin dan jujur. Bukan dengan cara haram seperti menipu, mencuri, makan rasuah, berzina dsb. Ada orang yang sanggup bekerja dengan kuat tanpa menghiraukan solat 5 waktu kepada Allah SWT. Bukankah seolah-oleh dia telah bertuhankan wang dengan mengabaikan Allah SWT? Bukankah dia seolah-olah telah syirik kepada Allah SWT? berhati-hatilah dengan syirik kerana syirik termasuk dalam dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT kecuali dengan bertaubat Nasuha iaitu taubat yang bersungguh-sungguh dan tidak mengulangi lagi dosa tersebut.

Allahu Akbar

Dari segi bahasa Allahu Akbar bermaksud Allah Maha Besar. Huraian bagi maksud Allahu Akbar ialah Allah itu Maha Besar dan Hebat. Dia boleh berbuat apa sahaja yang dia kehendaki dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan segala tindakanNya itu. Tiada siapapun yang layak menyoal Allah tentang segala tindakan dan keputusanNya bahkan makhluklah yang akan disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti tentang apa yang mereka kerjakan.

Allah berfirman: Dia (Allah) tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak. (Al-Anbiya’ 21:23)

Sesungguhnya ilmu Allah itu Maha luas. Sekiranya dibuat perbandingan ilmu Allah dengan ilmu makhluk itu, ilmu Allah itu seumpama satu lautan yang luas sedangkan ilmu makhluk itu seumpama setitis air dari lautan tersebut, bahkan lebih sedikit dari itu. Jadi layakkah kita mempertikaikan keputusan Allah terhadap kita dengan ilmu kita yang sedikit ini? Oleh itu, kita tidak boleh sama sekali membesarkan benda lain selain dari Allah SWT. Kesemua kita adalah hamba Allah yang tertakluk kepada hukum syariat yang telah ditetapkanNya. kita mestilah mengikut segala hukum syariat Allah untuk membesar dan mengagungkanNya.

Lahawlawala Quwwataillabillahil AliyilAzim

Maksud Lahawlawala QuwwataillabillahilAliyilAzim ialah tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah. Dari segi huraian maksudnya kita hendaklah takut hanya kepada Allah dan bukan kepada makhluk kerana makhluk itu langsung tiada kuasa. Kekuasaan makhluk itu hanya sekadar yang diizinkan oleh Allah SWT. Janganlah takut dengan hantu, orang yang berpangkat besar, orang kafir, orang munafik, orang jahat dsb. Takutlah hanya kepada Allah SWT. Sesiapa yang takut kepada Allah SWT, semua makhluk akan takut kepadanya kerana tidak kira siapa sahaja langsung tiada kuasa untuk menyakiti diri anda kecuali diizinkan oleh Allah SWT.

Akhir kata, di antara fadhilat berzikir dengan Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar dan Lahawlawala Quwwataillabillahilaliyyilazim adalah seperti 3 hadis berikut:

Hadis 1

Ketika Siti Fatimah r.a. puteri baginda Rasulullah s.a.w. merayukan halnya kepada baginda dengan berkata:
“Ya Rasulullah, berikan kepadaku seorang hamba (khadam) agar aku dapat mengatasi kesukaran-kesukaran yang ku alami dalam menyelenggarakan urusan-urusan rumah-tangga ku.” Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hendaklah kau ucapkan: SUBHANALLAHI sebanyak 33 kali ALHAMDULILLAHI sebanyak 33 kali dan ALLAHU AKBAR sebanyak 34 kali sebelum tidur di malam hari.”
Lantas baginda Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Ini lebih baik bagimu daripada khadam yang kau mintakan itu.”

Hadis 2

Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa satu ketika baginda Rasulullah S.A.W datang kepada kami dan bersabda: Ambillah perisai untuk melindungi kamu! Para sahabat R.Anhum bertanya: Ya Rasulullah, adakah musuh akan datang? Baginda bersabda: Ambillah perisai untuk melindugi kamu dari api neraka. Bacalah : Subhanallah, Alhamdulillah, Laailahaillallah, Allahuakbar, Walahaulawalakuataillabillah, – Sesungguhnya kalimat ini akan datang pada hari kiamat kepada pembacanya dan akan melindunginya dari sebelah hadapannya, disebelah belakangnya, dikanannya dan dikirinya dan inilah amal kebajikan yang sentiasa mendapat ganjarannya. (HR Tabrani. Majma`ul Bahrain).

Keterangan

Dalam hadith dinyatakan “Kalimat ini akan berada dihadapan pembacanya: bermaksud ialah dia akan menjadi penyokong dan pembela untuknya. Dan :berada disebelah belakang, kanan dan kirinya” bermaksud dia akan melindungi pembacanya dari segala azab dan siksa.

Hadis 3

Riwayat Muslim menjelaskan bahawa barangsiapa bertasbih (Subhanallah) setiap kali selesai solat sebanyak 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) sebanyak 33 kali dan bertakbir (Allahu Akbar) sebanyak 33 kali, kemudian digenapkan dengan mengucapkan Lailaha Illah Wahdahula Syarikalahu Walahulhamduyuhyi Wayumitu Wahuwa Ala Kulli Syaiin Qadir, nescaya akan diampuni dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.

Sumber: Ustaz Don Daniyal

Rawatan sakit gigi!

Sakitnya gigi geraham yg berlubang ni. Alhamdulillah… apabila Engkau beri sakit, Engkau juga beri ubatnya Ya Allah!

Baca Surah Al-Hasyr : Ayat 21-24. Insyallah. Hendaklah kita yakin apabila kita beramal dengan ayat al-quran

Sifat-Sifat Rasulullah SAW Yang Patut Kita Contohi

Di antara sikap dan sifat Rasulullah SAW adalah:-

  • Paling penyabar
  • Tidak sombong
  • Tawaduk dan Tenang
  • Tidak terganggu dengan urusan dunia
  • Paling berani, paling adil dan paling menjaga diri.
  • Sangat pemalu – tidak tetap pandangannya pada muka seseorang
  • Mengasihi umat dan menyayangi ahli bait (keluarga) dan sahabatnya.
  • Suka menunaikan pelawaan/undangan hamba sahaya dan orang merdeka
  • Tangan Baginda tidak pernah menyetuh wanita yang bukan hambanya atau muhrimnya.
  • Baginda adalah manusia yang pemurah, suka bersedekah apa yang ada pada dirinya.
  • Makanannya hanyalah tamar dan syair, selebihnya adalah untuk jalan fiisabilillah
  • Menampal sandalnya, kainnya dan mengurus kepentingan keluarganya.
  • Lebih mengutamakan orang lain daripada diri baginda sendiri.
  • Tidak pernah meminta pertolongan orang-orang musrik
  • Menerima hadiah walaupun seteguk air/sepaha arnab
  • Baginda akan membalas hadiah yang diterima.
  • Baginda tidak memakan harta sedekah.
  • Makan tanpa bersandar dan tanpa meja
  • Baginda akan berhenti makan sebelum kenyang
  • Paling beradab ketika makan dan menghadap hidangan
  • Suka berpuasa, mengikat batu pada perutnya apabila lapar
  • Saputangannya adalah kedua telapak kakinya.
  • Bercincin perak di jari manis kanan dan kiri
  • Menyukai kebersihan dan bau-bauan
  • Menyukai jubah bulu/syamlah
  • Berkenderaan kaldai dan unta
  • Mengunjungi orang susah dan sakit
  • Memuliakan orang-orang berakhlak
  • Pembela golongan lemah dan wanita
  • Memuliakan tetamu dan jiran tetangga
  • Suka menasihati dan member tunjuk ajar
  • Berbuat baik dengan golongan bangsawan
  • Tidak takut kepada raja kerana kerajaannya
  • Duduk dan makan bersama orang-orang miskin
  • Tidak berdendam, Tidak memutuskan silaturrahim
  • Tidak memukul kecuali bertujuan di atas jalan Allah SWT
  • Bergurau/tersenyum dan tidak mengatakan kecuali yang benar.
  • Memarahi dan melaksanakan kewajipannya atas dasar kebenaran
  • Tidak pernah mencaci, memaki hamun, mengutuk dan menganiaya
  • Menghindari memfitnah, mengumpat, hasad dengki dan tamak haloba.
  • Baginda ummi dan hafiz/paling fasih/merdu bacaan Al-Qur’an/Lughah Arab
  • Paling kuat ibadatnya, paling berilmu/arif, paling banyak taubat dan syukurnya dll.
  • Berkinayah/berdiam diri dengan nampak tanda tidak menggemari perkara yang tidak disukainya (makruh contohnya)
  • Dan banyak lagi.

 

Sumber: Mirlme.Com

Cara Menadah Tangan Ketika Berdoa

Berikut ini adalah kaedah atau cara menadah tangan dan berdoa dengan betul ;

1. Angkat tangan ke paras dada
2. Rapatkan kedua-dua belah tapak tangan mengenai satu sama lain
3. Apabila tapak tangan dirapatkan, urat atau garisan di tapak tangan akan bertemu dan menjadi melengkung berbentuk seperti huruf ‘ba’
4. Titik bagi huruf ‘ba’ tu letakkan di hati. Kedudukan titik itu lebih rendah dari tangan yang kita tadah.
5. Duduklah dalam keadaan yang penuh sopan. Cara duduk yang terbaik ialah duduk iftirash (duduk seperti duduk antara 2 sujud) atau duduk seperti dalam tahiyyat akhir. Jika berdiri, tegakkan badan betul-betul. Jangan bersandar seperti orang malas!
6. Sepanjang berdoa, banyakkan memuji kebesaran Allah dan menyebut nama-nama Allah yang lain, bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu. Contohnya, jika berdoa mohon dipermurahkan rezeki, sebutlah nama Allah (ar-Rozzaq).
7. Doa diakhiri dengan puji-pujian pada Allah dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.
8. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dari hati kita. Gunalah bahasa yang mudah difahami kerana Allah Maha Pengasih dan sangat memahami dan mendengar segala bicara tulus dari hambaNya. Walau dalam bahasa apa kita cakap, Allah pasti faham. Namun, kalau dapat berdoa dengan doa-doa yang diajarkan oleh Nabi SAW (dalam bahasa Arab), itulah yang terbaik.
9. Ajarkanlah adab berdoa ini kepada seluruh ahli keluarga anda sejak dari usia kecil. InsyaAllah ini akan dapat membentuk peribadi baik anak-anak menjadi menjalani kehidupan.

Sumber: Mirlme.Com

Sujud Tilawah (Sajadah)

 

Makna Tilawah

Tilawah ertinya bacaan. Maka Sujud Tilawah bererti sujud bacaan iaitu sujud kerana membaca atau mendengar ‘ayat-ayatSajadah’ dari pembacaan Al-Quran yang kebiasaannya boleh dikenali pada ayat-ayat tersebut dengan ditandai garis atau simbol kubah dan tertulis perkataan sajadah.

Disunat bersujud dengan niat Tilawah bagi pembaca atau pendengar ‘ayat Sajadah’. Selain dari Sujud Tilawah’ sujud ini juga dikenali sebagai ‘Sujud Sajadah’.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila anak Adam membaca ayat Sajadah, lalu ia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, “Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak, maka untukku neraka.”   (HR Bukhari dan Muslim.)

Hukum Sujud Sajadah adalah sunat mu’akad, atau sunat yang amat digalakkan.

Dari Umar r.a; Pada suatu hari Jumaat, Rasulullah SAW membaca surah al-Nahl di atas mimbar, maka ketika sampai pada ayat sajadah, Baginda lalu turun dan sujud. Dan para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada Jumaat berikutnya, dibacanya surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat sajdah Baginda SAW bersabda: “Wahai manusia, sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi sesiapa bersujud, dia telah melakukan yang benar. Dan sesiapa yang tidak melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa.” (HR Bukhari)

 

1.  Ayat-ayat Sajadah

Di dalam Al-Quran terdapat 15 ayat-ayat sujud sajadah iaitu:

1. Surah 7 (Al-A’Raaf) Ayat 206

2. Surah 13 (Ar-Ra’d) Ayat 15

3. Surah 16 (Al-Nahl) Ayat 50

4. Surah 17 (Al-Isra’) Ayat 109

5. Surah 19 (Maryam) Ayat 58

6. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 18

7. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77

8. Surah 25 (Al-Furqaan) Ayat 60

9. Surah 27 (An Naml) Ayat 26

10. Surah 32 (As-Sajdah) Ayat 15

11. Surah 38 (Shaad) Ayat 24

12. Surah 41 (Fushshilat) Ayat 38

13. Surah 53 (An-Najm) Ayat 62

14. Surah 84 (Al-Insyiqaq) Ayat 21

15. Surah 96 (Al-’Alaq) Ayat 19

 

Nota:

Perlu dinyatakan bahawa bacaan surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77 menurut madzhab Syafi’iyah dan Hanbaliyah dimasukkan sebagai ayat sajadah. Bacaan Surah 38 (Shaad) Ayat 24 pula menurut Syafi’iyah dan Hanbaliyah tidak termasuk ayat sajadah, tapi ayat yang disunatkan untuk ‘Sujud Syukur’.

 

2.  Syarat Sujud Tilawah

    1. Suci badan, pakaian dan tempat sujud.
    2. Menutup aurat.
    3. Menghadap kiblat.
    4. Sujud setelah selesai membaca ayat Sajadah.
    5. Dalam solat berjamaah, makmum wajib mengikuti Imam bersujud Tilawah. Gugur keahlian solat berjamaah, jika tidak ikut bersujud.

 

3.  Rukun Sujud

     1.  Niat Sujud Tilawah

 “Daku melakukan Sujud Tilawah kerana Allah Ta‘ala”

     2.  Bertakbir

3.  Sujud

     4.  Salam.

4.  Bacaan Sujud Tilawah (Sajadah)

Dalam Sujud Tilawah dianjurkan membaca:

“Aku bersujud kepada Allah yang menjadikanku, memberikan pendengaranku dan penglihatanku dengan Kekuasaan-Nya dan Kudrat-Nya. Maka Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik pencipta kejadian.”

 

5.  Zikir-Zikir Lain 

Bacaan zikir-zikir yang lain ketika Sujud Tilawah. Sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Ya Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud.” (Hadis riwayat Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)

Sementara itu Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :

“Maha suci tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana.”

Walau bagaimanapun adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud solat.

Menurut Imam Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari hadas (dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلآ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ.

“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.

 

Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul masjid. (Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)

 

6.  Dua Jenis Sujud Tilwah

Sujud Tilawah ini disunatkan dilakukan baik dalam solat atau di luar solat.

1.   Dalam Solat

a. Ketika tiba pada ayat-ayat Sajadah, disunatkan berniat sujud untuk Tilawah, mengucapkan Takbir lalu terus sujud sekali dan membaca tasbihnya, kemudian berdiri semula tanpa perlu mengangkat tangan dan menyambung baki bacaan ayat tersebut serta teruskan solat seperti biasa sehingga salam.

b. Terbatal solat jika melakukan sujud bersendirian pada ketika Imam tidak melakukannya. Sekiranya imam tidak melakukannya, maka makmumnya juga tidak perlu bersujud kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan imam.

 2.   Di Luar Solat

Sujud Tilawah sunat dilakukan di luar solat iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam solat.

Berniat dalam hati, di samping itu disunatkan juga melafazkan niatnya :

 “Daku melakukan Sujud Tilawah kerana Allah Ta‘ala”

.

  1. Ketika membaca Al-Quran dan apabila bertemu ‘tanda sujud’, maka hendaklah bertakbiratul-ihram sambil berniat ‘Sujud Tilawah’ untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya.
  2. Takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud tilawah.
  3. Tidak perlu berdiri atau membaca Fatihah dan rukuk. Terus saja bersujud dan membaca ‘Tasbih Tilawah’.
  4. Adalah sunat memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga diletakkan dahi ke tempat sujud.
  5. Begitu juga bagi takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula. kemudian kembali duduk dan memberi salam.
  6. Perlu diingat bahawa untuk melakukan sujud tilawah di luar solat ini tidak disunatkan bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir dan sujud. (At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)
  7. Jika tidak bersujud, kerana tidak memenuhi syarat atau berhalangan, maka sebagai gantinya bacalah ayat:

Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, Tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar; Tiada suatu daya dan kekuatan melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

3.  Boleh Tangguh Sujud Tilawah

Sujud tilawah juga boleh ditangguhkan. Contohnya, ketika sedang dalam perjalanan tiba-tiba kedengaran seseorang membaca ayat sajdah. Maka, tidak diharuskan sujud seketika itu juga kerana untuk melakukannya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dan berada di tempat suci, sama seperti mahu mengerjakan solat.

 

Sumber: shafiqolbu