7 Peringkat Solat

Apakah sembahyang yang kita lakukan sejak baligh sehingga ke hari ini diterima Allah? Pernahkan kita menganalisa, sejauh manakah kita khusyuk di dalam sembahyang, kerana khusyuk merupakan salah satu syarat untuk sembahyang itu diterma Allah.

Bagi orang-orang yang soleh dan solehah, mereka sangat mengambil berat tentang sembahyang. Sekiranya pekerjaan seharian terganggu, atau tiada kelancaran semasa bekerja, perkara pertama yang dilakukan ialah memeriksa semula sejauh mana khusyuknya mereka dalam sembahyang. Ini adalah kerana sembahyang merupakan hubungan manusia dengan Allah.

Sekiranya hubungan dengan Allah pun tidak selesai, dengan manusia tentunya lebih susah lagi. Seterusnya, ketaatan kepada pemimpin tidak akan berlaku sekiranya tiada ketaatan kepada Tuhan. Sembahyang perlu dinilai dari segi berjemaah atau tidak, tepat pada waktunya ataupun tidak, khusyuk atau tidak dan kelurusan saf di dalam sembahyang. Untuk menilai sembahyang kita, mari kita bersama-sama meneliti peringkat-peringkat sembahyang berikut. Dalam golongan manakah kita dikategorikan.

Sembahyang Orang Jahil

Sembahyang seseorang yang tidak faham tentang rukun sembahyang, syarat wajib sembahyang, syarat sah sembahyang, persoalan suci dari hadas kecil dan hadas besar dan sebagainya. Sekalipun sembahyang itu kemas, tepat pada waktunya dan berjemaah, tetap tertolak kerana dilakukan tanpa ada ilmu.

Sembahyang Orang Lalai
Pada zahirnya adalah lengkap. Ini kerana sebelum sembahyang itu dikerjakan, ilmu mengenainya sudah dipelajari. Bacaan dalam sembahyang dijaga betul. Tapi fikiran orang orang yang bersembahyang itu melayang, memikirkan perkara lain, tidak menghayati sembahyangnya. Sedangkan khusyuk dalam sembahyang merangkumi khusyuk, akal, hati dan perbuatan. Golongan inilah yang dikatakan lalai di dalam sembahyang sepertimana firman Allah:

“Sebab itu, celakalah bagi orang-orang yang bersembahyang dan mereka lalai dari sembahyangnya.”

Surah Al-Ma’un, Ayat 3 dan 4. Mereka ini akan Allah masukkan ke dalam Neraka Wail.

Sembahyang Kerana Selain Allah

Sembahyang yang dilakukan kerana adat dan budaya. Mungkin seseorang itu lahir dalam suasana Islam. Sejak kecil dia melihat orang sekelilingnya sembahyang, lantas dia pun sembahyang. Ini bermakna sembahyangnya bukan kerana syariat tapi kerana takut dimarahi ibu bapa, takut tersisih dan sebagainya. Sembahyang bagi golongan ini juga tertolak.

Sembahyang Peringkat Mujahadah

Golongan yang sembahyangnya diperingkat ini pula, mereka memiliki ilmu tentang sembahyang dan berusaha menghayati sembahyangnya. Mereka ada kesungguhan tetapi jiwa tidak hidup. akal sudah berperanan, tetapi hati belum dapat dibawa bersama di dalam sembahyangnya. Bahkan di dalam sembahyang, mereka bermujahadah untuk mendapatkan rasa khusyuk. Allah sayang pada orang yang bermujahadah. Allah menerima sembahyang golongan ini setakat yang mereka khusyuk sahaja. Walau bagaimanapun, mereka masih belum tentu selamat. Terpulanglah kepada Allah menentukannya. Kalau dengan rahmat Allah, Dia hendak mengampunkan dosa hambaNya, Dia ampunkan. Kalau Dia hendak siksa pun, itu adalah hakNya sebagai Tuhan.

Sembahyang Orang Soleh

Diperingkat sembahyang ini, akal fikiran sudah boleh ditumpukan supaya khusyuk kepada Tuhan di dalam sembahyangnya tetapi jiwa dan hati belum sepenuhnya dikawal. Akal sudah boleh disibukkan dengan mengingatkan makna-makna bacaan dan pergerakan sembahyang. Golongan ini sudah tidak lalai dalam sembahyang. Untuk sembahyang kita diterima, kita sekurang-kurangnya berada diperingkat ini. Ia peringkat paling minimum.

Sembahyang Para Wali

Di peringkat sembahyang para wali, akal, hati dan fizikal telah dapat dikawal. Golongan ini sudah dapat menghayati sembahyang. Apabila menyebut Alhamdulillah, hati terasa bersyukur dan akal memahaminya. Bila berdiri tegak, dia dapat merasakan bahawa dirinya sedang menghadap Tuhan. Bila bertasbih, terasa dirinya kerdil dan hina di hadapan Tuhan yang Maha Agung. Bila berdoa, hati sentiasa rasa mengharap. Sembahyang beginilah yang melahirkan rasa kehambaan. Bahkan dapat merasakan kelazatan di dalam sembahyang.

Sembahyang Para Nabi-nabi dan Rasul-rasul

Golongan ini terlalu khusyuk sembahyangnya, dengan lain perkataan ‘fana’ dengan Allah. Roh mereka sampai ke alam yang tinggi. Sifat-sifat Allah dihayati sungguh-sungguh. Bahkan mereka boleh sampai ke alam malakut.
Begitulah di antara beberapa peringkat sembahyang yang boleh kita kategorikan. Sembahyang yang dapat dihayati sungguh-sungguh akan dapat memberikan kesan kepada orang yang melakukannya. Sebaliknya rugilah mereka yang lalai di dalam sembahyang. Sembahyang mereka seperti patuk ayam yang tidak tahu makna apa-apa tentang sembahyangnya.

 

Rahsia Khusyuk solat

RAHSIA KHUSYUK SOLAT

1. Jangan bersolat dengan menahan sesuatu seperti air kecil atau air besar..
2. Sentiasa lakukan solat berjemaah (yang paling afdal ialah di masjid)
3. Menjaga makan dan minum (terjamin halal)
4. Membanyakkan sedekah kepada fakir miskin.
5. Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengalir mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat atau doa apabila air melalui di tiap-tiap anggota.
6. Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
7. Tempat sujud dipastikan tiada gambar yang boleh mengganggu fikiran.
8. Mengingati mati dan beringat kemungkinan itu adalah solat terakhir dalam hidup.
9. Menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia dan segala yang tersirat di hati hamba-hambanya.
10. Memenuhkan hati dengan perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang sentiasa memerhatikan gerak-geri kita.
11. Memahami segala bacaan dalam solat termasuk makna ayat-ayat Al-Quran dan segala zikir.
12. Membaca surah Al-Nas,selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W, istighfar dan bacaan yang menjauhkan diri kita daripada syaitan sebelum mengangkat takbir.
13. Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.
14. Memanjangkan sedikit tempoh semasa ruku’ dan sujud.
15. Memastikan tiada gangguan di dalam kawasan solat.
16. Jangan memandang ke kiri dan ke kanan(selain dari tempat sujud).

Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”
Surah Al-Mukminun : ayat 1-2.

Firman-Nya lagi:-

“Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk”
Surah Al-Baqarah : ayat 238

Dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain. Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.”
Surah Al-Ma’un : ayat 4-5

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya.” Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : “Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat.” Hadis lain dari Rasulullah s.a.w. “Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang”. serta “Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan”. Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang:

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori’ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya’) perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan “munajat” (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, “Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati.”

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:

“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya” [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Sumber: Facebook

Waktu-waktu Doa Mustajab

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa yang senang Allah mengabulkan doanya ketika dalam keadaan sempit serta berduka maka hendaknya ia banyak berdoa ketika dalam keadaan lapang.” (HR At-Tirmidzi 3304, Hadis Hasan)

WAKTU-WAKTU YANG MUSTAJABNYA DOA

Allah memberikan setiap waktu dengan keutamaan dan kemuliaan yang berbeza-beza, di antaranya ada waktu-waktu tertentu yang sangat baik untuk berdoa, akan tetapi kebanyakan orang mensia-siakan kesempatan yang baik tersebut. Mereka menyangka bahawa seluruh waktu memiliki nilai yang sama dan tidak berbeza. Setiap muslim seharusnya memanfaatkan waktu-waktu yang utama dan mulia untuk berdoa agar mendapatkan kejayaan, keuntungan, kemenangan dan keselamatan. Adapun waktu-waktu mustajaba tersebut antara lain ialah

(1). Sepertiga Akhir Malam

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda.

“Ertinya : Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ; barangsiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barangsiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barangsiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya” . (Shahih Al-Bukhari, kitab Da’awaat bab Doa Nisfullail 7/149-150)

(2). Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa

Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash Radhiyallahu ‘anhu bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak”. (Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da’watuhu 1/321 No. 1775. Hakim dalam kitab Mustadrak 1/422. Dishahihkan sanadnya oleh Bushairi dalam Misbahuz Zujaj 2/17),

(3). Setiap Selepas Shalat Fardhu

Dari Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab.

“Ertinya : Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai shalat fardhu”.
(Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da’awaat 13/30. Dishahihkan oleh Al-Albani di dalam Shahih Sunan At-Tirmidzi 3/167-168 No. 2782).

(4). Ketika Saat Perang Berkecamuk

Dari Sahl bin Sa’ad Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
sallam bersabda.

“Ertinya : Ada dua doa yang tidak tertolak atau jarang tertolak ; doa ketika saat adzan dan doa ketika perang berkecamuk”. (Sunan Abu Daud, kitab Jihad 3/21 No. 2540. Sunan Baihaqi, bab Shalat Istisqa’ 3/360. Hakim dalam Mustadrak 1/189. Dishahihkan Imam Nawawi dalam Al-Adzkaar hal. 341. Dan Al-Albani dalam Ta’liq Alal Misykat 1/212 No. 672).

(5). Sesaat ketika Hari Jum’at

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Abul Qasim Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Ertinya : Sesungguhnya pada hari Jum’at ada satu saat yang tidaklah bertepatan
seorang hamba muslim shalat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut”. (Shahih Al-Bukhari, kitab Da’awaat 7/166. Shahih Muslim, kitab Jumuah 3/5-6)

Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203.

Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai shalat Jum’at atau sehingga selesai waktu shalat ashar bagi orang yang menunggu shalat maghrib.

(6). Ketika Waktu Bangun Tidur Pada Malam Hari Bagi Orang Yang Sebelum Tidur Dalam Keadaan Suci dan Berdzikir Kepada Allah

Dari ‘Amr bin ‘Anbasah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda.

“Ertinya :Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya” . (Sunan Ibnu Majah, bab Doa 2/352 No. 3924. Dishahihkan oleh Al-Mundziri 1/371 No. 595)

Terbangun tanpa sengaja pada malam hari.(An-Nihayah fi Gharibil Hadits 1/190)
Yang dimaksudkan dengan “ta’ara minal lail” terbangun dari tidur pada malam hari.

(7). Doa Di antara Adzan dan Iqamah

Dari Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
sallam bersabda.

“Ertinya : Doa tidak akan ditolak di antara adzan dan iqamah”. (Sunan Abu Daud, kitab Shalat 1/144 No. 521. Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da’waat 13/87. Sunan Al-Baihaqi, kitab Shalat 1/410. Dishahihkan oleh Al-Albani, kitab Tamamul Minnah hal. 139)

(8). Doa Ketika Waktu Sujud di Dalam Shalat

Dari Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Ertinya : Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhl ah berdoa keraan saat itu sangat tepat untuk dikabulkan”. (Shahih Muslim, kitab Shalat bab Nahi An Qiratul Qur’an fi Ruku’ wa Sujud 2/48)

Yang dimaksudkan adalah sangat tepat dan layak untuk dikabulkan doa kamu.

(9). Ketika Saat Sedang Hujana

Dari Sahl bin a’ad Radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda.

“Ertinya : Dua doa yang tidak pernah ditolak ; doa ketika waktu adzan dan doa ketika waktu hujan”. (Mustadrak Hakim dan dishahihkan oleh Adz-Dzahabi 2/113-114. Dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahihul Jami’ No. 3078).

Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak ialah kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).

(10). Ketika Saat Ajal Tiba

Dari Ummu Salamah bahawa Rasulullah ‘alaihi wasallam mendatangi rumah Abu Salamah (pada hari wafatnya), dan beliau mendapati kedua mata Abu Salamah terbuka lalu beliau ‘alaihi wasallam memejamkannya kemudian bersabda.

“Ertinya : Sesungguhnya tatkala ruh dicabut, maka pandangan mata akan
mengikutinya’ . Semua keluarga histeria. Baginda ‘alaihi wasallam bersabda : ‘Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali kebaikan, kerana para malaikat mengamini apa yang kamu ucapkan”. (Shahih Muslim, kitab Janaiz 3/38)

(11). Ketika Lailatul Qadar

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman.

“Ertinya : Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar”. (Al-Qadr : 3-5)

Imam As-Syaukani berkata bahawa kemuliaan Lailatul Qadar mengharuskan doa setiap orang pasti dikabulkan. (Tuhfatud Dzakirin hal. 56)

(12). Doa Ketika Hari Arafah

Dari ‘Amr bin Syu’aib Radhiyallahu ‘anhu dari bapaknya dari datuknya bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Ertinya : Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”. (Sunan At-Tirmidzi, bab
Jamiud Da’waat 13/83. Dihasankan oleh Al-Albani dalam Ta’liq alal Misykat 2/797 No. 2598)

Sumber: Blog Ammar

Solat sunat 2 rakaat selepas ijab Qabul

Sunnah selepas Ijab Qabul : Melakukan solat sunat 2 rakaat berjemaah suami dan isteri.

Cara untuk mengerjakannya ialah:

• Lafaz niatnya :

“Usolli sunnata ba’dan nikahi rak’ataini lillahi Ta’ala”Allahu Akbar”
Sahaja aku solat sunat sesudah nikah dua rakaat kerana Allah Ta’ala”

• Rakaat pertama : Membaca surah Al-Faatihah dan surah Al-Kafiruun’

• Rakaat kedua : Membaca surah Al-Faatihah dan surah Al-Ikhlas

• Membaca doa berikut selepas salam:

“YA Allah, Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, segala puji-pujian bagi-Mu, seru sekalian alam. Ya Allah, aku bersykur kepada-Mu, telah selesai pernikahanku ini, kami memohon pada-Mu Ya Allah Engkau berkatilah pernikahan –ku ini. Engkau jadikanlah aku dan isteriku orang-orang yang soleh. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, pada-Mulah kami memohon pertolongan. Engkau anugerahkanlah padaku isteri/suami yang soleh, Engkau berikanlah akan daku dan isteriku petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaan-Mu dan tunjukilah kami ke jalan yang lurus sepanjang hidup kami. Engkau berikanlah kami kekuatan untuk memimpin isteri dan anak-anak kami ke jalan yang Engkau redhai. Engkau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dengan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa. Engkau anugerahkanlah padaku dan isteriku anak-anak yang ramai dan soleh. Engkau anugerahkanlah kami kesihatan dan kesejahteraan pada isteri/suami dan anak cucu kami sepanjang hayat kami dan sepanjang hayat mereka. Engkau peliharalah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosak kemesraan dan kebahagiaan rumah tangga kami”

“Ya Allah ,Ya Rahman, Ya Rahim, Engkau anugerahkanlah kepada kami akan rezeki yang suci dan baik, lindungilah kami dari mendapat rezeki yang keji dan haram. Engkau jadikanlah aku, isteriku/suamiku dan anak-anak kami orang yang rajin mengerjakan solat dan bertaqwa. Engkau berikanlah petunjuk dan jalan sekiranya aku, isteri/suami dan anak-anak ku menyimpag ke jalan yang tidak Kau redhai. Engkau anugerahkanlah padaku, isteri/suami dan keturunan kami kekuatan dan keimanan untuk berbuat baik dan amal soleh sepanjang hayat kami. Engkau peliharalah kami, isteri/suami, anak-anak dan cucu-cucu kami dari sebarang mara bahaya,fitnah,dan malapetaka yang tidak diingini samaada yang lahir mahupun yang batin”

“Ya Allah,Engkau berkatilah umur kami, isteri/suami kami, anak-anak kami, cucu-cucu kami sehinggalah akhir hayat kami dan mereka. Engkau peliharalah kami, isteri/suami kami, anak-anak kami, cucu-cucu kami agar menjadi orang yang taat kepada-Mu Ya Allah, kepada kedua ibubapanya dan taat mengerjakan perintah-Mu dan taat dalam menjauhi larangan-Mu”

“Bahagiakanlah rumah tangga kami Ya Allah,(3 kali),

Engkau berkatilah rumahtangga kami Ya Allah (3 kali)”

Amin ya rabbal a’lamin…

Solat & Perihal Kesihatan

Hari ini, kita akan fokus kelebihan solat kepada kesihatan fizikal. Antaranya:

Solat boleh memberi ketenangan kepada seseorang.

Hidup ini tidak pernah lekang daripada ujian. Oleh itu, cara terbaik menghadapi bebanan ujian dan tekanan dengan bersolat. Apa itu solat? Solat itu maknanya kita berdoa. Bermula dengan takbiratul ihram, kita tak putus-putus mengucapkan doa sehinggalah diakhiri dengan salam. Ketika solat, kita bermunajat dan mengadu pada Allah, lalu minda kita direhatkan dan ini akan menjadikan jiwa kita tenang. Oleh sebab itulah, ketika Nabi SAW menhadapi tekanan, baginda pernah menyebut kepada Bilal, “Mari rehatkan diri kita dengan solat”. Solat itu boleh menjadi pengurang tekanan kepada kita. Bagi wanita yang haid dan tidak boleh solat, ulama mengatakan boleh amalkan selawat untuk menenangkan hati. Selain itu, boleh juga amalkan zikir-zikir. Universiti Harvard juga pernah membuat kajian dan mendapati bahawa solat dapat meringankan tekanan. Orang bukan Islam pun meyakini kebenaran kelebihan solat.

Solat juga dapat memberi kesegaran kepada fizikal.

Contoh mudah, kita rasa segar ketika melakukan solat terawikh. Nabi SAW solat begitu lama dan sehingga bengkak-bengkak kakinya, namun baginda kekal sihat. Pergerakan dalam solat mengerakkan oto-otot dan menguatkan jantung.

Ulama mengatakan solat dapat menurunkan berat badan.

Pengkaji daripada Universiti Malaya juga mendapati bahawa solat dapat membakar kalori, memberi keseimbangan pada badan dan dengan itu mengurangkan berat badan.

Solat dapat meningkatkan daya imunisasi.

Jika kita baca dalam sirah sahabat Nabi SAW, Sayyidina Umar ditikam sebanyak 11 kali ketika ingin mengimamkan solat Subuh, namun semua sahabat tidak perasan. Lalu Umar memberitahu dan ketika itu, sahabat-sahabat pun mengepung Abu Lu’ Lu Ah yang menikamnya. Abu Lu’Luah cuba melarikam diri dan menikam pula 11 orang sahabat yang lain. Setelah merasakan dia tidak dapat melepaskan diri, Abu Lu’luah menikam dirinya sendiri dan mati ditempat kejadian. Keadaan ini berbeza dengan Umar yang ditikam 11 kali, namun masih kuat. Umar kemudiannya diusung dan dibawa balik ke rumahnya. Ketika sampai dirumah, Umar teringat yang dia belum solat. Lalu dia memberitahu sahabat yang dia ingin solat. Sahabat memintanya solat berbaring, namun dia menolak kerana dia risau yang itu akan jadi solatnya yang terakhir. Tengoklah bagaimana Umar yang telah ditikam sekalipun pun masih berusaha untuk berdiri dan solat, sedangkan kita yang tak ditikam ini pula terasa begitu berat untuk bangun dan solat. Diriwayatkan, Umar dapat bertahan sehingga selepas waktu Zohor barulah dia wafat. Inilah kekuatan yang Allah beri kepada orang yang kuat solat.

Solat dapat menyihatkan otot-otot dan sendi-sendi.

Ketika kita bangun di pagi hari, sendi-sendi akan saling memberi salam kepada satu sama lain. Mereka mula bergerak dan kemudian berpesan kepada lidah agar membetulkan dirinya supaya sendi-sendi lain juga menjadi baik. Oleh sebab itu, kita perlu memulakan hari dengan solat Subuh dan turut menjaga solat-solat lain.

Solat mengajar kita untuk fokus dalam setiap kerja yang dilakukan.

Solat melatih kita untuk fokus dan inilah yang membantu kita kusyuk dalam solat. Orang yang menjaga solat, Allah akan membantunya ketika di penghujung hayatnya. Manakala orang yang tidak solat pula akan menghadapi ujian getir ketika menghadapi sakaratul maut. Ketika hidup, dia juga tidak dapat fokus dalam pekerjaan dunia dan merupakan seorang yang tidak efektif.

Solat dapat merawat penyakit sedia ada

Contohnya sakit pinggang dan sakit lutut. Ulama membincangkan bahawa jika kita betul-betul rukuk 90 darjah, dalam masa 3 minggu, penyakit sakit belakang boleh sembuh. Menurut kajian lain pula, pergerakan solat selama selama 30 minit (12 rakaat solat sunat) selama 3 kali minggu sahaja sudah boleh menyembuhkan penyakit mati pucuk. Satu lagi penyakit yang didapati boleh diubati dengan solat ialah penyakit jantung. Kedudukan dalam sujud merupakan ketika paling baik jantung berfungsi. Selalunya bila penat, kita rasa bila baring kita akan memberi kerehatan kepada jantung, tetapi cuba kita amalkan solat dan sujud dengan lebih lama. Nabi SAW juga menyebut bahawa saat sujud merupakan saat paling dekat seorang hamba dengan Allah dan kita amat digalakkan berdoa ketika itu.

Sumber: Tanyalah Ustaz TV9

Taat agama, kasih sayang rahsia perpaduan keluarga Haji Din


DARI kiri Abu Hassan, Siti Khadijah, Siti Mariam, Haron, Che Wangi,
Che Bee, Ishak, Rokiah, Jariyah dan Fatimah pada
Hari Keluarga Haji Din dan Hajjah Che Teh di Kampung Batu Muda.


10 beradik tak pernah bergaduh, pastikan hubungan erat

PERCAYA atau tidak, mereka adik beradik tidak pernah bergaduh atau berkecil hati kerana masing-masing bersatu hati memastikan hubungan keluarga besar seramai 202 ahli itu terus terbina atas semangat kasih sayang, toleransi dan ambil berat.

Ketika soalan itu diutarakan, 10 beradik anak pasangan Allahyarham Din Wan Awang dan Allahyarhamah Che Teh Wan Nik sepakat menjawab tidak pernah berkelahi, malah tertawa apabila menyedari penulis tidak berpuas hati dengan jawapan diberi. Duduk semeja dengan mereka, jelas tergambar kegembiraan pada wajah tiga ustaz dan tujuh ustazah yang masing-masing masih aktif menyebarkan syiar Islam melalui kelas al-Quran, ceramah serta tugas sebagai guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA).

Saya gembira kerana lima adik saya berjaya mendapat ijazah berkat usaha dan doa kami sekeluarga. Sebagai kakak juga ibu, saya berharap ibu hari ini sabar mendidik anak. – Kakak Sulung, Fatimah Din

Anak perempuan sulung, Fatimah, dalam usia 75 tahun masih sihat, begitu juga adiknya Ishak (73), Datuk Haron (71), Rokiah (69), Datuk Abu Hassan (66), Che Bee (61), Mariam (59), Jariah (56), Siti Khadijah (54) dan yang bongsu, Che Wangi (52).

Anak ketiga pasangan berkenaan, Haron berkata, semua itu berkat kesepakatan dipupuk sejak kecil hasil didikan ibu bapa mereka berteraskan ajaran al-Quran yang terus disemai hingga kini bukan saja oleh mereka adik beradik tetapi anak, cucu serta cicit.

Katanya, jika timbul masalah membabitkan kepentingan semua ahli keluarga, perkara itu akan dirujuk kepada barisan tertinggi dalam hierarki keluarga iaitu kakak sulung dan abang untuk mencari penyelesaian atau kata putus.

“Kami juga mengamalkan dasar tolong menolong seperti penganjuran rumah terbuka Aidilfitri ini, semua perlu menyumbang mengikut kemampuan masing-masing,” katanya pada pertemuan pada majlis hari keluarga Haji Din dan Hajah Che Teh ke-21 yang diadakan di kediaman Abu Hassan di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, setiap tahun mereka adik beradik bersama pasangan masing-masing akan menganjurkan percutian ke luar negara dan antara tempat sudah dikunjungi ialah Beijing, Maghribi, Jordan, Palestin dan Syria.

Selain itu, sejak 1999, mereka juga sepakat mengumpulkan dana untuk menghantar ahli keluarga terdiri daripada pasangan suami isteri menunaikan ibadat haji dan tahun ini giliran anak keenam, Che Bee bersama suaminya.

Sementara anak serta cucu pula, yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, akan menerima hadiah wang tunai serta sijil penghargaan.

Paling mengagumkan, sejak 21 tahun lalu, semua ahli keluarga Haji Din tidak pernah gagal menghadiri majlis hari keluarga sempena Aidilfitri, baik yang dianjurkan di rumah Allahyarham ibu bapa mereka di Bohor Mali, Kangar, Perlis, atau bergilir-gilir di rumah adik-beradik mereka.

Che Bee berkata, bagi menghormati ketetapan dibuat kakak serta abang supaya hubungan akrab itu terus mekar, setiap ahli keluarga akan memastikan setiap seorang daripada mereka tidak terkecuali daripada mengambil bahagian dalam aktiviti dianjurkan.

Katanya, Alhamdulillah atas dasar kesepakatan itu, belum pernah ada ahli keluarga yang gagal menghadirkan diri setiap kali sambutan Aidilfitri kecuali mereka yang berada di luar negara atas tuntutan kerja atau mengikuti pengajian.

“Apabila kita bersatu hati, maka tiada alasan. Sebenarnya melalui persetujuan semua setiap yang dirancang menjadi kenyataan. Inilah bukti kasih sayang sejati antara adik beradik serta anak saudara,” katanya.

Ishak yang agak tegas berkata, kebahagiaan adik beradik juga hasil berpegang kepada pesan bapa supaya ikhlas mengajar serta berkhidmat kepada masyarakat kerana Allah akan bagi balasan baik antaranya perpaduan keluarga.

Beliau berkata, mereka yang berpegang kepada ajaran agama tidak akan bergaduh atau cuba memulakan persengketaan, sebaliknya orang yang suka bergaduh adalah golongan jahil.

Justeru, beliau menasihatkan supaya semua ahli keluarga mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian bagi mengelak konflik masyarakat yang kian membimbangkan hari ini termasuk keadaan keluarga berpecah-belah.

“Sekarang kita lihat adik beradik bergaduh pasal harta. Apabila ibu meninggal dunia, kami berebut juga tetapi berebut tidak mahu harta. Semua harta peninggalan ibu, tanah lima relung kami wakaf untuk sekolah agama rakyat.

“Malah, kami juga sepakat membeli lapan ekar tanah adik ibu yang terletak bersebelahan tanah Allahyarham ibu untuk diwakafkan buat asrama sekolah agama rakyat. Ini bekalan untuk Allahyarham ibu bapa kami,” katanya.

Menyelami pengalaman hidup 10 beradik yang kini menjadi inspirasi masyarakat kerana sumbangan mereka dalam bidang agama dan perubatan Islam, Fatimah mengakui mereka bukan datang daripada keluarga kaya.

Beliau sendiri terpaksa menamatkan persekolahan setakat Tingkatan Dua untuk memberi peluang kepada adik yang lain. Ketika umur 12 tahun, beliau sudah mengambil upah menjahit baju untuk membantu menyara keluarga.

“Saya gembira kerana lima adik saya berjaya mendapat ijazah berkat usaha serta doa sekeluarga. Sebagai kakak juga ibu, saya berharap ibu hari ini bersifat sabar mendidik anak,” katanya.

Tidak sah rasanya jika tidak mengorek rahsia, Fatimah berkata, anak paling nakal dalam keluarga ialah Abu Hassan yang dipanggil Pak Andak Hassan oleh anak saudaranya sementara Haron pula sering mengalah jika bahagiannya diambil adik-adiknya.

Jariah digelar ‘pak lawak’ kerana sering membuat ahli keluarga ketawa dengan cerita mengarut beliau setiap kali mereka berhimpun dan Mariam seorang yang sukar senyum.

Ditanya pula rahsia mereka yang tetap segar dan awet muda, Hassan berkata: “Rahsianya ialah senyum selalu, jangan susah hati. Jangan fikir sangat soal duit dan jika tidak ada duit pun, mesti sentiasa senyum.”

Sumber: Bharian.Com.My

10 Wasiat Imam Syafie Kepada Muridnya

Sebelum Imam Syafie meninggal dunia, beliau ada meninggalkan wasiat untuk anak muridnya. Dan wasiat tersebut secara amnya boleh dijadikan panduan kepada kita semua.

10 Wasiat Imam Syafie Kepada Muridnya | Sebelum Imam Syafie kembali ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada sebahagian daripada muridnya yang boleh dijadikan panduan kepada umat Islam.

Wasiat yang dimaksudkan ialah pesanan dan nasihat beliau yang yang sangat bernilai. Berikut ialah antara kandungan wasiat itu: “Sesiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat, maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.” Jom kita lihat apakah 10 wasiat tersebut di bawah ini.

Pertama: Hak kepada diri – mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

Kedua: Hak kepada malaikat maut – mengqandakan kewajipan yang tertinggal , mendapatkan kemaafan dari orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan berasa cinta kepada Allah.

Ketiga: Hak kepada kubur – membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajud dan membantu orang yang dizalimi.

Keempat: Hak kepada Munkar dan Nakir – tidak tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

Kelima: Hak kepada Mizan (Neraca Timbangan Amalan Pada Hari Akhirat) – menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

Keenam: Hak kepada Sirat (titian yang merentangi neraka pada hari akhirat) – membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

Ketujuh: Hak kepada Malik (Malaikat Penjaga Neraka) – menangis lantaran takut kepada Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.

Kelapan: Hak kepada Ridhwan (Malaikat Penjaga Syurga) – berasa reda kepada qada Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas hikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

Kesembilan: Hak Kepada Nabi saw – bersalawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-sunnah (hadis) menyayangi sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan daripada Allah.

Kesepuluh: Hak kepada Allah SWT – mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada keburukan, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Sumber: MyNewsHub.Com