Alhamdulillah…. sesungguhnya Engkaulah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

KPKT !! Rezeki !! Rezeki !! Alhamdulillah. Aku bersyukur padaMu ya Allah atas rezeki dah kemudahan yang engkau berikan ini…

Balik Kampung !!

Beshnya balik kampung… Rasanya kali ni aku lama kat kampung (Teluk Intan, Perak). Masa aku banyak terluang bersama keluarga. Meskipun, Mak Mok telah tiada, namun suasana dan kemesraan antara kami sekeluarga amat akrab skali. Teringat aku masa zaman kanak-kanak.

Saja aku balik kg ikut jalan lama (KL – Klang – Meru – Kapar – Kuala Selangor – Tanjung Karang – Sekinchan – Sungai Besar – Sabak Bernam – Teluk Intan). Boleh rilek-rilek… meskipun aku dh 2x kena saman laju melebihi had dibenarkan ikut jalan tu. Sepanjang jalan aku dok bercerita ngan isteri kenangan-kenangan lama.

Sampai kampung, Pak Uda sekeluarga ada. Memang aku balik ni pun sebab nak ikut sama pak Uda mengantar anak bongsu dia (apit) bertunang di Taiping esoknya. Mak Ana pun ada. Dah menjadi kebiasaan keluarga, kami adik-beradik lebih mesra dipanggil gelaran diperingkat anak saudara. Cthnya, Pak Uda (Abg Salleh), Allahyarhamah Mak Mok (Kak Arah), Mak Cho (Kak Yam), Mak Ana (Kak Ana), Pakcu (aku)… tu yg aku lekat nama PakCu tu.

Esoknya kami ke Taiping. Balik Taiping singgah ke Zoo Taiping (antara zoo yg tua di Malaysia). Mak Cho belanja… ehehhehe… Tq Mak Cho. Tiket dewasa RM 12 sorang, kanak-kanak RM 8 sorang. Ramai gak yg pergi masa tu; Bapak, Mak Cik, Mak Cho sekeluarga, Mak Anjang sekeluarga, Aku sekeluarga, Lan sekeluarga dan Mak Ana sekeluarga. Seronok dapat berjalan dengan family kat tempat-tempat cam tu.

Petang balik Tapah, rumah Mak Cho. Letih punya pasal, aku decided tido situ. Lagi pun tu 1st time aku tido rumah Mak Cho. Mak Ana pun sama tido situ. Mana taknya, aku cakap kalo dia balik.. aku pun balik sama.. Hehehehe kena ugut baru dia nak tido situ !! Makan malam lauk ayam goreng minyak (masakan keluarga) dan sambal goreng telur. Sungguh menyelerakan.

Esok pepagi kami dah balik Teluk Intan, sebab nak bakar ikan. Tengahari tu makan arr ikan bakar. Kebetulan bapak pun ada. Bestnya dapat makan bersama keluarga. Kiranya kami pun makan besar gak lah pada raya cina ni… Petang tu ziarah kubur, buat tahlil ringkas utk arwah Mak ngan arwah Mak Mok, tak lupa gak utk arwah Along (Syahril) dan arwah Munzir. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh-roh mereka. Amin !!

Esoknya pepagi Abg Zali pi pekan Teluk Intan cari bubur gandum. Dah berapa kali aku balik kampung cari bubur gandum tak dapat. Kali nie dia yang pegi. Kali pertama pegi kedai mamak tu belum bukak. Kali kedua pegi baru ada. Teringat masa bebujang dulu, bila balik kg jer.. pepagi mesti arwah Mak Mok ajak beli bubur gandum mamak tu. Aku memang tak suka bubur kacang. Kebetulan Abg Zali pun suka bubur gandum.

Lebih kurang pukul 10 pagi, Pak Uda ajak pegi kebun. Aku pegi ngan Abg Man. Kat kebun Pak Uda ada dengan Pak Ulong. Sian aku tengok dua beradik tu. Kami berempat memotong pokok getah. Kata Pak Uda biar senang pokok durian sebelahnya nak naik. Tengahari balik rumah, makanan dah siap. Palagi.. Makan terus disebabkan perut lapar + letih. Lepas makan baring jap, rehatkan badan sebab pastu nak balik Kuala Lumpur.

Jam 4:40 petang aku balik KL. Ikut jalan dalam gak. Memang jalan tak jammed. Sampailah kat pekan Kapar, hujan lebat. Pastu masuk Setia Alam (pasal Pak Uda cakap ikut tu dekat). Terus masuk Federal Highway. Best jalan tak jammed. Makan malam kat kedai Mek Acham jer.

Selamat ke sekolah Haziq & Damia

Tahun ni dua-dua anak aku (Muhammad Haziq Naufal & Nur Qistina Damia) bersekolah. Yang sulung masuk darjah satu. Yang kedua masuk Tadika Sri Wawasan (5 tahun). Aku ambil cuti, mudah sikit nak uruskan anak. Dalam kepayahan sedang mengandung nak masuk 2 bulan, Nana sibuk menguruskan anak. Syukur aku ada isteri yang amat perihatin dengan keperluan anaknya. Teringat masa arwah ibu menguruskan setiap kali aku nak ke sekolah dulu.

Baru dua anak masuk sekolah aku dah terasa. Bayangkan orang tua kita, perit jerih depa nak menyekolahkan anak. Bukan sorang dua.. cam aku ni, 17 14 adik-beradik yang bersekolah. Sememangnya tuhan itu Maha Adil lagi Maha Mengetahui. Benarlah kata orang tua-tua, setiap anak yang dilahirkan ada rezeki mereka.

Doa aku moga Haziq & Damia rajin mencari ilmu. Agar mereka terus berusaha mencari ilmu walau payah manapun.

Hijrah !!

Rasanya belum terlambat untuk ku menulis sedikit harapan @ cita-cita ku sempena tahun 1431 hijrah nie.. Harapan aku tahun ni:
+ Nak banyakkan buat amal
+ Utamakan keluarga
+ Cari rezeki lebih
+ Buat yg terbaik utk kerjaya

Rasanya perkara 1 tu, memang semua orang berazam akan buat. Pada aku.. utamakan urusan kita denganNya dulu makan segala urusan lain akan.

Berita baik haghi nie, Abg Zaki (JTC) inform ada 5 lagi peserta nak join kursus. Alhamdulillah, aku bersyukur kepadaMu ya Allah atas rezeki yang kau berikan.

Petang ni aku baru balik dari Jabatan Rekod Perubatan Maklumat Kesihatan. Sempat jumpa otai-otai sana, abg Lan, Haris Jr, abd Bad dan beberapa otai sana. Saja jenguk-jenguk tempat kerja baru. So far, aku teruja nak mula kerja kat tpt baru. Anyway aku dah inform kat S/U (sapa yer nama dia) yang aku akan lapordiri pada 05/01/2010. Maklumlah Haziq akan masuk sekolah darjah 1 tahun ni. Damia lak akan masuk tadika (5 tahun). So kenalah tengok depa dulu…

20 Amalan Murah Rezeki

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu. (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:

Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya. (Riwayat at-Tirmizi)

Sentiasa ingat Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram. (Ar-Raad: 28)

Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya. (Riwayat Abu Yaala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya. (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu. (Riwayat Bukhari)

Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya. (Riwayat Muslim)

Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu aalam.

Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata:

Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.

Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

Menjalin silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda:

Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya. (Riwayat Bukhari)

Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda s.a.w. bersabda:

Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki. (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya. (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:

Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. (Ali Imran: 145)

Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asmaul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca Ya Allah ya Fattah berulang-ulang, diiringi doa: Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim. Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu alam.

Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya:

Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya). (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:

Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang. (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Sumber: Mutiara Hati